Thursday 27 December 2012

BEBERAPA KETERANGAN DARIPADA HADIS NABI MUHAMMAD SAW BERKENAAN BERJEMAAH.

"Saya bercita-cita menyuruh mendirikan solat, lalu saya perintahkan seorang lelaki mengimami solat bersama manusia. Kemudian saya akan pergi bersama beberapa orang lelaki dengan membawa bersama seberkas kayu api lalu menuju kepada kaum yang tidak menghadiri solat. Saya akan membakar mereka dan rumah-rumah mereka dengan api."

"Tidak ada solat untuk mereka yang hampir dengan masjid melainkan di masjid."

"Sesiapa yang mendengar azan kemudian tidak menunaikan solat berjemaah, bermakna tidak ada solat baginya melainkan kerana keuzuran."

Wednesday 26 December 2012

PANDANGAN PARA SAHABAT DAN GOLONGAN PARA ULAMA BERKENAAN SOLAT BERJEMAAH.

Banyak pendapat yang menyokong dan menggalakkan umat Islam supaya mendirikan solat secara berjemaah dan banyak pendapat yang mengancam mereka daripada mengabaikannya. Antaranya:

1. Ummul Mukminin, Aisyah berkata, "Sesiapa mendengar azan, lalu tidak ditunaikan solat berjemaah tanpa uzur, maka beliau tidak mendapat kebaikan."

2. Ali bin Abu Talib berkata, "Barang siapa yang mendengar azan di masjid kemudian tidak ditunaikan sedangkan beliau sihat tanpa uzur, maka tidak ada solat baginya."

3. Pada suautu masa, Umar al-Khattab mendapati hanya beberapa orang sahaja solat berjemaah, lalu beliau bertanya, "Apakah sebab mereka tidak datang bersolat? Mereka perlu datang ke masjid ataupun biar saya kirimkan kepada mereka orang yang akan menebas batang leher mereka." Kemudian Umar menyeru dengan sekuat-kuat suaranya, "Datanglah berjemaah! datanglah berjemaah! Datanglah berjemaah!"

4. Abu Hurairah berkata, "Memenuhi kedua telinga anak Adam dengan timah yang dicairkan adalah lebih baik daripada mendengar azan kemudian tidak ditunaikan."

5. Abdullah bin Mas'ud berkata, "Kami menetapkan, tidak menarik diri daripada berjemaah melainkan sudah jelas munafiknya."

6. Ibnu al-Munzir menyatakan di dalam buku beliau, al-Ausat, Nabi Muhammad menyuruh orang buta yang jauh rumahnya dari masjid supaya menghadiri solat berjemaah. Ini menunjukkan berjemaah itu wajib dan bukan sunat lagi.

7. Imam Syafie menyatakan di dalam buku beliau, al-Muhtasar, "Saya tidak akan memaafkan orang yang meninggalkan solat berjemaah."

Tuesday 25 December 2012

KEUZURAN BERJEMAAH

Solat berjemaah tidak boleh ditinggalkan kecuali ada keuzuran sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang mendengar azan tetapi ia tidak hadir maka tidaklah sempurna solatnya kecuali disebabkan keuzuran".  (Riwayat Ibnu Majah)

ANTARA KEUZURAN SOLAT BERJEMAAH

1.Cuaca terlampau sejuk.
2.Hujan.
3.Terpaksa buang air.
4.Lapar ataupun dahaga.
5.Takut pemiutang meminta hutang kepadanya di tengah jalan sedangkan ia benar-benar tidak mampu.
6.Takut kepada orang zalim.
7.Siap sedia untuk bermusafir takut kalau-kalau terlewat atau ditinggalkan oleh kawan-kawan.

Monday 24 December 2012

Beberapa Persoalan Mengenai Makmum Masbuk.

Soalan:
Apa hukumnya makmum yang masbuk itu?

Jawapan:
Hukumnya adalah seperti berikut:
1.  Jika imam sedang berdiri dan sedang membaca fatihah, maka makmum itu hendaklah mengangkat takbiiratul ihram dan terus membaca surah al-Fatihah dengan tidak perlu membaca doa iftitah dan jika sekiranya imam ruku' sedang makmum belum habis membaca al-Fatihah itu, maka makmum hendaklah memberhentikan bacaan fatihahnya dan terus ruku' bersama-sama imam. Dalam keadaan ini makmum itu mendapat satu rakaat, kerana ia sempat ruku' bersama imam.
2.   Jika imam sedang ruku' atau akan melakukan ruku', maka makmum itu hendaklah mengangkat takbiiratul ihram kemudian terus ruku', dengan tidak perlu membaca surah al-Fatihah. Dalam keadaan ini makmum itu mendapat satu rakaat, kerana ia sempat ruku' bersama imam.
3.   Jika imam sedang duduk membaca tahiyat atau sedang sujud, maka makmum hendaklah mengangkat takbiiratul ihram kemudian terus mengikut keadaan dan perbuatan imam itu seperti duduk membaca tahiyat atau sujud. Dan oleh kerana makmum itu tidak sempat ruku' bersama-sama imam, maka ia tidak dapat dikira mendapat satu rakaat.

Soalan:
Apa hukumnya jika makmum masbuk itu sempat berjemaah (sempat ruku' bersama imam) dalam rakaat yang kedua dalam solat subuh?

Jawapan:
Makmum itu hendaklah mengikut keadaan dan perbuatan imam, termasuklah membaca qunut, kemudian apabila imam telah selesai memberi salam maka makmum hendaklah berdiri untuk melakukan rakaat yang kedua bagi dirinya dan adalah sunat baginya membaca qunut dalam rakaat yang kedua itu.

Soalan:
Apa hukumnya jika makmum yang masbuk itu sempat berjemaah (sempat ruku' bersama imam) dalam rakaat ketiga (akhir) dalam solat magrib?

Jawapan:
Makmum itu hendaklah mengikut keadaan dan perbuatan imam, termasuklah duduk tahiyat akhir, kemudian apabila imam selesai memberi salam, maka makmum hendaklah berdiri untuk melakukan rakaat yang kedua bagi dirinya dan melakukan tahiyat awal dalam rakaat itu, kemudian ia berdiri lagi untuk melakukan rakaat yang ketiga dan melakukan tahiyat akhir dan salam.

Soalan:
Bila makmum yang masbuk itu dikira mendapat satu rakaat?

Jawapan:
Makmum yang masbuk dikira mendapat satu rakaat ialah jika ia sempat ruku' bersama-sama imam, walaupun ia tidak sempat membaca surah al-Fatihah.

Sunday 23 December 2012

Pengertian Makmum Muafik

Muafik ialah makmum yang mempunyai masa yang cukup bersama imam untuk membaca al-fatihah dengan bacaan yang sederhana.

Jika sekiranya ia (muafik) masih belum selesai membaca al-fatihah sedangkan imam telah ruku', maka hendaklah ia menghabiskan al-fatihah itu sehingga imam selesai sujud dan bangun daripada sujud yang kedua.

Sekiranya makmum itu masih tidak selesai juga sedangkan imam sudah pun bangun berdiri ataupun duduk tahiyat akhir, maka hendaklah makmum itu memilih sama ada berpisah dengan niat mufaraqah (berpisah) ataupun terus mengikut perbuatan imam dan rakaat itu tidak diambil kira. Jika tidak berbuat salah satu antara kedua hal tersebut, maka batallah solatnya.

Pengertian Makmum Masbuk

Masbuk ialah makmum yang ketinggalan. Iaitu makmum yang tidak mendapat masa yang cukup untuk membaca al-fatihah bersama imam.
Ini disebabkan semasa ia masuk berjemaah imam sedang ruku' atau hampir-hampir akan ruku'. Orang yang berkeadaan begini sekiranya ia dapati imam sedang ruku', maka hendaklah ia terus bertakbir serta niat sekali dan setelah berdiri sebentar (lamanya dalam kadar bacaan Subhanallah) teruskanlah ruku' bersama imam.

Sekiranya dapat berhenti bersama imam semasa ruku', maka itu dikira satu rakaat walaupun tidak membaca al-fatihah kerana orang yang masbuk al-fatihahnya ditanggung oleh imam. 

Sekiranya ia berkesempatan berdiri bersama imam dalam masa yang singkat, maka hendaklah ia membaca al-fatihah sekadar mana yang dapat dan teruskan mengikut imam dalam ruku' dengan syarat dapat berhenti bersama dalam ruku' itu.

Thursday 20 December 2012


Makmum Dan Imam Berhimpun Di Satu Tempat

Makmum dan imam wajib berhimpun pada satu tempat ketika bersolat jemaah itu dalam tiga keadaan menurut syarat-syaratnya, iaitu :

1. Makmum dan imam kedua-duanya berada dalam masjid.
2. Makmum dan imam kedua-duanya berada di luar masjid.
3. Makmum di luar masjid dan imam di dalam masjid atau makmum di dalam masjid dan imam di luar masjid.

Jika makmum dan imam kedua-duanya berada dalam masjid, maka haruslah makmum itu mengikut imam walau berapa jauh pun jarak antara keduanya, dan tidaklah memberi mudarat jika terdapat diantara keduanya itu beberapa binaan seperti telaga, menara, tembok dan sebagainya asalkan di dalam masjid itu terdapat pintu yang dapat dilalui oleh makmum menuju kepada imam walaupun dengan jalan berpaling daripada kiblat dan membelakangkan kiblat.

Jika makmum dan imam berada di luar masjid seperti di padang dan di dalam rumah, maka adalah disyaratkan supaya jarak antara keduanya tidak lebih daripada tiga ratus (300) hasta, asalkan tidak terdapat dinding antara keduanya.

Monday 17 December 2012


Makmum Berniat Mengikut Imam

Soalan:
Apa yang dimaksudkan dengan makmum berniat imam itu?

Jawapan:
Wajib ke atas makmum itu berniat imam dalam solat berjemaah. Jika ia tidak berniat sedemikian, maka jadilah solatnya itu solat seorang diri, tetapi jika ia mengikut imam dengan tidak berniat mengikut imam (sebagai makmum) atau ia syak adakah ia berniat sedemikian atau tidak, maka batal solatnya jika ia menanti imam dalam masa yang panjang suatu perbuatan.

Soalan:
Apa hukumnya jika ia tidak berniat mengikut imam dalam solat yang diwajibkan berjemaah iaitu solat Jumaat?

Jawapan:
Tidak sah solat jumaat makmum itu.

Soalan:
Adakah wajib keatas imam berniat menjadi imam?

Jawapan:
Wajib ke atas imam berniat menjadi imam pada solat jumaat ketika takbiiratul ihram. Jika ia tidak berniat sedemikian, maka tidak sah solat jumaatnya. Ada pun bagi solat selain daripada solat jumaat tidaklah wajib ia berniat menjadi imam bahkan hukumnya sunat sahaja. Tetapi jika ia tidak berniat menjadi imam, maka solatnya itu menjadi solat seorang diri dan ia tidak mendapat pahala berjemaah.

Soalan:
Apakah hukum jika imam itu berniat menjadi imam pada tengah solatnya?

Jawapan:
Sah solatnya dan ia mendapat pahala berjemaah mulai dari ketika ia berniat itu.

Soalan:
Adakah sah orang yang baligh berniat mengikut imam yang belum baligh tetapi sudah mumayyiz?

Jawapan:
Sah, tetapi jika imam itu belum mumayyiz maka tidak sah ia diikut.

Soalan:
Bilakah niat mengikut imam itu dilakukan?

Jawapan:
Ketika takbiiratul Ihram.

Tuesday 11 December 2012


Mari bersoal-jawab

Soalan:
Apa hukum solat berjemaah?

Jawapan:
Hukumnya adalah seperti berikut:

1. Fardhu Ain pada solat Jumaat.
2. Fardhu Kifayah pada solat fardhu lima waktu.
3. Sunat pada solat jenazah dan pada solat sunat yang disunatkan padanya berjemaah seperti solat hari raya.
4. Makruh pada solat tunai mengikut orang yang solat qada' dan begitu juga sebaliknya.

Soalan:
Apa kelebihan solat berjemaah?

Jawapan:
Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat seorang diri sebanyak dua puluh tujuh (27) kali ganda.

Soalan :
Bolehkah kita mendirikan solat berjemaah di khemah ataupun di kebun?

Jawapan :
Sebenarnya solat berjemaah boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan tempat itu bersih dan suci sama ada di padang, hutan, kebun, rumah, dan tempat-tempat lain, namun tuntutan berjemaah adalah dilakukan di masjid.

Soalan :
Apakah syarat-syarat sah solat berjemaah?

Jawapan :
Syarat-syarat sah solat berjemaah adalah:

1. Makmum berniat mengikut imam.
2. Makmum mengikut perbuatan imam.
3. Makmum berada di belakang imam.
4. Makmum dan imam berhimpun pada satu tempat.
5. makmum mengetahui pergerakan imam.
6. Makmum tidak terdahulu atau terkemudian daripada imam dengan dua rukun fi'lii.
7. Takbiiratul Ihram makmum terkemudian daripada takbiratul Ihram imam.
8. Aturan solat imam sama dengan solat makmum.
9. Tidak ada dinding diantara imam dengan makmum.
10. Jangan imam itu menjadi makmum kepada imam yang lain.
11. Jangan imam itu orang yang cacat bacaannya, sedangkan makmum baik bacaannya.



Pengertian Solat Berjemaah

Solat jemaah ertinya, solat beramai-ramai iaitu sekurang-kurangnya seorang imam dan seorang makmum.


Hukum Solat Berjemaah:

1. Fardhu Kifayah - menurut Imam Syafie.

2. Sunat muakkad - menurut ulama-ulama dalam mazhab Syafie ( Ashab Syafie) dan Imam Maliki.

3. Fardhu Ain - menurut Imam Ahmad bin Hambal

4. Wajib -  menurut Imam Hanafi

Susunan Imam dan Makmum

1. Apabila seseorang imam bersolat dengan seorang makmum, maka caranya ialah makmum itu berada di belakang imam sebelah kanan.

2. Apabila datang seorang yang lain, maka hendaklah ia berada di sebelah kiri imam. Setelah itu hendaklah imam ke hadapan dan kedua makmum merapatkan saf semula. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan makmum yang kedua bolehlah berdiri di belakang imam kemudian makmum yang pertama mundur ke belakang untuk menyamakan saf.

3. Kanak-kanak lelaki yang belum baligh apabila bersolat dengan imam sedangkan dia seorang diri sahaja, maka samalah ia seperti orang dewasa.

4. Apabila seorang perempuan bersolat di belakang jemaah lelaki, maka perempuan itu hendaklah bersolat di belakang jemaah itu dan ke kiri sedikit.

5. Apabila seorang imam lelaki dan makmumnya perempuan, maka perempuan itu hendaklah ke kiri sedikit.

Tuesday 27 November 2012

Solat berjemaah

Pengertian solat berjamaah



Hadis daripada Rasulullah S.A.W yang maksudnya: Daripada Ubay bin Ka'ab katanya, telah bersabda Rasulullah SAW: " Solat seorang lelaki beserta seorang lelaki adalah lebih baik daripada ia solat seorang diri dan seorang lelaki beserta dua orang lelaki lebih banyak ganjarannya daripada ia bersolat bersama-sama dengan seorang lelaki sahaja. Manakala lebih banyak jemaah lebih dikasihi Allah SWT".
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Nasa'i)

contoh niat solat berjemaah



Tuesday 13 November 2012

Marilah bersolat


    Pendidikan Solat
      Agama kita menganjurkan supaya anak-anak dididik mengerjakan solat atau sembahyang sejak berusia tujuh tahun lagi. Anjuran ini terkandung dalam sepotong hadis Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud :
" Suruhlah kanak-kanak mengerjakan solat apabila berumur tujuh tahun dan apabila sudah sampai 10 tahun, maka pukullah ( sekiranya tidak solat)"
      Suruhan dan latihan melaksanakan solat serta ibadat-ibadat lain seperti berpuasa, akan membiasakan anak-anak untuk mudah mematuhi dan mentaati semua titah perintah Allah S.W.T.
      Kebiasaan mereka mematuhi suruhan Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W akan dapat mempersiapkan individu kanak-kanak tersebut menghadapi alam kedewasaan dengan penuh yakin dan bersemangat.

   " Anak-anak yang mendapat didikan beribadat di peringkat asas ini akan memiliki kesihatan jasmani, kemuliaan akhlak dan perwatakan yang disukai ramai."

   Pengenalan Solat

 * Solat merupakan ibadah yang sangat besar kedudukannya dalam Islam.
 * Solat merupakan rukun Islam .
 * Solat merupakan penghubung antara hamba dengan penciptaNya.
 * Solat boleh mencegah perbuatan keji dan mungkar.
 * Wajib mempelajari cara solat yang betul.

  Fadhilat Solat

  * Mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.
  * Menanamkan perasaan mengagungkan Allah S.W.T.
  * Memperolehi limpahan rahmat dari Allah S.W.T.
  * Mendapat pahala berganda.
  * Merangkumi lima rukun Islam :
    - Ada dua kalimah syahadah.
    - Menyucikan waktu dari perbuatan mungkar dan maksiat (zakat)
    - Mengawal nafsu dari perkara yang merosakkan solat (puasa)
    - Menghadap ke arah Masjidil Haram untuk memuliakan Baitullah (Haji)

  Ancaman terhadap orang yang meninggalkan solat
   1.  Ancaman di dunia
  . Umur tidak berkat.
  . Allah menghapuskan tanda-tanda soleh pada mukanya.
  . Tiap-tiap amal yang dikerjakan tidak diberikan pahala.
  . Segala doanya tidak akan diperkenankan oleh Allah S.W.T.
  . Dimarahi dan dibenci oleh makhluk di dunia.
  . Tidak ada bahagian dari doa orang-orang soleh.
  . Seksa ketika hendak mati.

   2. Ketika hampir mati
   . Mati dalam kehinaan.
   . Mati dalam keadaan tersangat lapar.
   . Mati dalam keadaan sangat haus. jika dituangkan sekelian air laut di dunia ke dalam mulut mereka,                
    nescaya mereka merasa tidak puas.

   3. Semasa di alam kubur
    . Disempitkan kuburnya.
    . Dinyalakan api. Dimana dia akan membalik-balikkan dirinya di dalam bara api.
    . Diseksa dengan ular yang bernama Asy Syujaa' Al Aqra' sehingga hari qiamat.

   4. Semasa hari akhirat
    . Allah S.W.T memandang dengan pandangan yang murka.
    . Menghadapi hitungan yang amat sukar dan sulit semasa kiraan amal.
    . Allah S.W.T akan memerintahkan Malaikat supaya menghumbankan orang yang tidak solat ke dalam
      neraka.



Pengertian Solat

Pengertian Solat:


SOALAN
Apakah erti solat ?

JAWAPAN : Solat menurut bahasa ertinya doa. Manakala daripada segi istilah adalah beberapa ucapan dan perbuatan yang dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan salam berserta syarat-syarat yang ditetapkan.

SOALAN
Apakah solat-solat yang wajib dan bilakah disyariatkan solat dalam Islam ?

JAWAPAN : Solat-solat yang diwajibkan adalah zuhur, asar, maghrib, isyak dan subuh. Solat selain daripada ini adalah solat sunat sahaja. Solat fardhu lima waktu itu mula disyariatkan dalam Islam semasa peristiwa Isra' dan Mi'raj yang berlaku setahun sebelum Nabi Muhammad S.A.W berhijrah ke Madinah.

SOALAN
Berapakah bilangan rukun-rukun solat ?

JAWAPAN : Perkara-perkara wajib yang menjadi rukun dalam solat ada 13 perkara iaitu:

1. Niat semasa takbiratul ihram.
2. Berdiri betul bagi yang berkuasa.
3. takbiratul ihram.
4. Membaca surah al-fatihah.
5. Ruku'.
6. I'tidal.
7. Sujud.
8. Duduk antara dua sujud.
9. Duduk tahiyat akhir.
10. Membaca tahiyat akhir.
11. Selawat ke atas Nabi Muhammad dalam tahiyat akhir.
12. Ucapan salam.
13. Tertib dengan mengikut susunan seperti yang ditetapkan.

SOALAN
Apakah perbezaan antara syarat  dan rukun solat?

JAWAPAN : Syarat adalah perkara yang perlu disempurnakan sebelum solat itu dikerjakan, manakala rukun adalah perkara-perkara yang perlu dilakukan semasa dalam solat.

SOALAN
Dalam solat, apakah yang dikatakan rukun qauli, qalbi dan fikli, bolehkah diterangkan satu persatu ?

JAWAPAN : Para ulama membahagikannya 13 rukun solat kepada tiga bahagian iaitu:

1. Rukun qauli, mengandungi lima rukun iaitu takbiratul ihram, membaca al-fatihah, membaca tahiyat, selawat dan salam.

2. Rukun fikli, merangkumi enam perkara iaitu berdiri betul, ruku', i'tidal, sujud, duduk antara dua sujud dan duduk tahiyat akhir.

3. Rukun qalbi , mengandungi dua rukun iaitu niat dan tertib.

SOALAN
Apakah perkara-perkara yang perlu dilakukan semasa takbiratul ihram ?

JAWAPAN : Bagi kita yang bermazhab Syafie yang beramal dengan memasukkan niat dalam takbiratul ihram, maka takbiratul ihram wajib disertakan dengan qasad, ta'aradz dan ta'yin bagi solat fardhu. Tetapi bagi solat-solat sunat yang mempunyai masa ataupun sebab, diwajibkan muqaranah niat dalam takbir dua perkara sahaja iaitu qasad dan ta'yin manakala bagi solat sunat mutlak, hanya mengandungi satu perkara sahaja iaitu qasad semata-mata.

SOALAN
Apakah itu qasad, ta'aradz dan ta'yin?

JAWAPAN : 

* Qasad adalah seperti ' aku solat'.

* Ta'aradz seperti ' fardhu'.

* Ta'yin menentukan waktu seperti ' zuhur '.
   Contoh penuhnya : ' Aku solat fardhu zuhur '.



Sifat solat Nabi Muhammad S.A.W