Beberapa Persoalan Mengenai Makmum Masbuk.
Soalan:
Apa hukumnya makmum yang masbuk itu?
Jawapan:
Hukumnya adalah seperti berikut:
1. Jika imam sedang berdiri dan sedang membaca fatihah, maka makmum itu hendaklah mengangkat takbiiratul ihram dan terus membaca surah al-Fatihah dengan tidak perlu membaca doa iftitah dan jika sekiranya imam ruku' sedang makmum belum habis membaca al-Fatihah itu, maka makmum hendaklah memberhentikan bacaan fatihahnya dan terus ruku' bersama-sama imam. Dalam keadaan ini makmum itu mendapat satu rakaat, kerana ia sempat ruku' bersama imam.
2. Jika imam sedang ruku' atau akan melakukan ruku', maka makmum itu hendaklah mengangkat takbiiratul ihram kemudian terus ruku', dengan tidak perlu membaca surah al-Fatihah. Dalam keadaan ini makmum itu mendapat satu rakaat, kerana ia sempat ruku' bersama imam.
3. Jika imam sedang duduk membaca tahiyat atau sedang sujud, maka makmum hendaklah mengangkat takbiiratul ihram kemudian terus mengikut keadaan dan perbuatan imam itu seperti duduk membaca tahiyat atau sujud. Dan oleh kerana makmum itu tidak sempat ruku' bersama-sama imam, maka ia tidak dapat dikira mendapat satu rakaat.
Soalan:
Apa hukumnya jika makmum masbuk itu sempat berjemaah (sempat ruku' bersama imam) dalam rakaat yang kedua dalam solat subuh?
Jawapan:
Makmum itu hendaklah mengikut keadaan dan perbuatan imam, termasuklah membaca qunut, kemudian apabila imam telah selesai memberi salam maka makmum hendaklah berdiri untuk melakukan rakaat yang kedua bagi dirinya dan adalah sunat baginya membaca qunut dalam rakaat yang kedua itu.
Soalan:
Apa hukumnya jika makmum yang masbuk itu sempat berjemaah (sempat ruku' bersama imam) dalam rakaat ketiga (akhir) dalam solat magrib?
Jawapan:
Makmum itu hendaklah mengikut keadaan dan perbuatan imam, termasuklah duduk tahiyat akhir, kemudian apabila imam selesai memberi salam, maka makmum hendaklah berdiri untuk melakukan rakaat yang kedua bagi dirinya dan melakukan tahiyat awal dalam rakaat itu, kemudian ia berdiri lagi untuk melakukan rakaat yang ketiga dan melakukan tahiyat akhir dan salam.
Soalan:
Bila makmum yang masbuk itu dikira mendapat satu rakaat?
Jawapan:
Makmum yang masbuk dikira mendapat satu rakaat ialah jika ia sempat ruku' bersama-sama imam, walaupun ia tidak sempat membaca surah al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment