PANDANGAN PARA SAHABAT DAN GOLONGAN PARA ULAMA BERKENAAN SOLAT BERJEMAAH.
Banyak pendapat yang menyokong dan menggalakkan umat Islam supaya mendirikan solat secara berjemaah dan banyak pendapat yang mengancam mereka daripada mengabaikannya. Antaranya:
1. Ummul Mukminin, Aisyah berkata, "Sesiapa mendengar azan, lalu tidak ditunaikan solat berjemaah tanpa uzur, maka beliau tidak mendapat kebaikan."
2. Ali bin Abu Talib berkata, "Barang siapa yang mendengar azan di masjid kemudian tidak ditunaikan sedangkan beliau sihat tanpa uzur, maka tidak ada solat baginya."
3. Pada suautu masa, Umar al-Khattab mendapati hanya beberapa orang sahaja solat berjemaah, lalu beliau bertanya, "Apakah sebab mereka tidak datang bersolat? Mereka perlu datang ke masjid ataupun biar saya kirimkan kepada mereka orang yang akan menebas batang leher mereka." Kemudian Umar menyeru dengan sekuat-kuat suaranya, "Datanglah berjemaah! datanglah berjemaah! Datanglah berjemaah!"
4. Abu Hurairah berkata, "Memenuhi kedua telinga anak Adam dengan timah yang dicairkan adalah lebih baik daripada mendengar azan kemudian tidak ditunaikan."
5. Abdullah bin Mas'ud berkata, "Kami menetapkan, tidak menarik diri daripada berjemaah melainkan sudah jelas munafiknya."
6. Ibnu al-Munzir menyatakan di dalam buku beliau, al-Ausat, Nabi Muhammad menyuruh orang buta yang jauh rumahnya dari masjid supaya menghadiri solat berjemaah. Ini menunjukkan berjemaah itu wajib dan bukan sunat lagi.
7. Imam Syafie menyatakan di dalam buku beliau, al-Muhtasar, "Saya tidak akan memaafkan orang yang meninggalkan solat berjemaah."
No comments:
Post a Comment